Wednesday 25 March 2009

UMNO perlu kembali ke akar umbi

KUALA LUMPUR 24 Mac - UMNO mesti mengubah cara memilih pemimpin termasuk sistem kuota jika mahu membendung politik wang dan salah guna kuasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden UMNO berkata, jika parti mahu terus kekal kuat mandat untuk memilih pemimpin perlu dikembali ke akar umbi.

"Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa.

"Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Katanya, untuk atasi gejala tidak bermoral yang merosakkan parti itu dalam UMNO, hak memilih perlu diberikan kepada kumpulan yang lebih besar. "Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi Perhimpunan Agung UMNO hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian.

"Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli UMNO di peringkat akar umbi di seluruh negara.

"Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan UMNO dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan UMNO dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat," jelas.

Lagi pula kata Najib, UMNO perlu berubah jika mahu menarik minat rakyat.

Katanya, apabila rakyat sudah berpaut dengan UMNO, barulah ia akan kembali perkasa.

Menurut beliau, ia boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli UMNO menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat.

"Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan," katanya.

Beri saya saf padu – Najib


KUALA LUMPUR 24 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu barisan kepimpinan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi untuk bersama-sama beliau meneruskan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat.

Dalam ucapan yang ringkas tetapi sarat dengan pesanan dan peringatan, Timbalan Presiden UMNO itu juga mahu kepimpinan beliau sebagai Presiden parti kelak disokong oleh sekumpulan pemimpin yang ampuh dan padu.

Kata Najib, amanah yang dipikul oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserahkan kepadanya dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara.

Oleh itu, katanya, tergalas di bahu beliau satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia UMNO membela untung nasib rakyat.

Justeru, beliau berharap permuafakatan yang terjalin antara tiga sayap parti – Pemuda, Wanita dan Puteri – dapat diteruskan sementara sokongan yang sama turut diberikan oleh ahli-ahli UMNO kepada bakal Timbalan Presiden yang baru kelak.

“Dengan penuh semangat saya yakin bahawa jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ucapan yang fokus kepada peranan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO itu dimulakan dengan menyentuh jatuh bangunnya ahli-ahli ketiga-tiga pergerakan itu untuk berfungsi sebagai nadi perjuangan parti.

Dalam ucapan tersebut, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan dirinya bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwaris beliau itu telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung.

Beliau menamakan satu persatu tokoh negara bermula dengan Datuk Onn Jaafar, diikuti oleh Tunku Abdul Rahman, seterusnya Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disifatkan oleh beliau sebagai amat berbakti kepada negara.

Najib turut melahirkan rasa hiba kerana persidangan kali ini adalah yang terakhir bagi beliau sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan tiga sayap parti itu selepas lebih 33 tahun bersama.

“Alangkah hiba rasanya malam ini saya berdiri di hadapan saudara-saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Saya juga berasa terharu dan tawaduk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara,” katanya.

Monday 23 March 2009

Norza dilarang daripada bertanding

KUALA LUMPUR 23 Mac – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dilarang daripada bertanding jawatan Majlis Tertinggi UMNO (MT) pada pemilihan kali ini.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bermesyuarat hari ini.

Norza dalam satu kenyataan berkata, beliau secara peribadi amat sedih dan kecewa dengan keputusan yang melarang beliau daripada bertanding itu.

"Sungguhpun begitu, selaku ahli parti yang meletakkan UMNO sebagai satu institusi bagi memperjuangkan agenda yang lebih besar, keputusan itu saya terima dengan hati yang terbuka.

``Keputusan itu tidak sedikit pun mengganggu iltizam saya untuk terus menyumbang ke arah perjuangan demi agama, bangsa dan negara," katanya di sini hari ini. - Utusan

Sunday 22 March 2009

Serahkan peluang bagi Perwakilan UMNO - Dr. M

KUALA LUMPUR 22 Mac — Umno perlu menyerahkan kepada perwakilan dalam perhimpunan Agung parti itu mulai Selasa ini bagi memulihkan imej serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Peluang (ketiga) itu terletak di tangan perwakilan di mana sekiranya perwakilan turut pilih orang yang terlibat dengan rasuah maka satu lagi peluang Umno (untuk pulihkan kedudukan) akan hilang.

“Kalau perwakilan pilih juga calon yang terlibat dengan rasuah, sedangkan tribunal telah mengatakan dia terlibat dengan rasuah, kalau pilih juga (calon) itu, maka terpulanglah kepada kepimpinan parti,” katanya.

Ketika menggariskan empat peluang bagi memulihkan imej Umno serta menghapuskan politik wang bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu, Dr Mahathir berkata peluang itu juga bergantung kepada siapa yang akan bakal menjadi Perdana Menteri dan apakah langkah yang akan diambil, katanya.

“Peluang yang terakhir ada pada Datuk Seri Najib Tun Razak (yang bakal menjadi Presiden Umno), kalau dia juga pilih orang yang terlibat dengan rasuah menjadi anggota Kabinet, saya fikir harapan untuk Umno terus kukuh pada masa depan akan hilang,” katanya.

Katanya, kebanyakan peluang yang ada untuk memperbetul dan mengukuhkan kedudukan Umno telah dilepaskan begitu sahaja.

“Banyak peluang yang diraih oleh Umno untuk kukuhkan kedudukannya telah dilepaskan, contohnya, kalau Bahagian Umno itu jujur, dia akan memilih calon yang tidak sogok wang tetapi kita tahu bahagian-bahagian Umno ada yang pilih calon yang terlibat dengan sogokan wang dan ini peluang pertama nak bersihkan Umno sudah hilang,” katanya.

Peluang kedua yang dilepaskan Umno adalah apabila Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti itu gagal menangani gejala politik wang dan seakan-akan masih merestui politik wang di dalam Umno, katanya kepada pemberita selepas ucaptamanya di Persidangan Kemuncak Pribumi Perkasa Negara di sini.

“Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno jelas gagal kerana orang yang membuat kesalahan yang sama mendapat hukuman yang berbeza. Ada yang kena buang kerja, ada yang tidak kena buang kerja, ada yang seluruh dunia sedia maklum bahawa dia salah tetapi pada pandangan parti, dia tidak bersalah, jadi kredibiliti jawatankuasa disiplin itu telah tamat,” katanya.

Terdahulu di dalam ucaptamanya, Dr Mahathir menyeru orang Melayu bersatu dan melakukan perubahan demi masa depan dan kedudukan mereka di negara ini.

— BERNAMA

Pilih barisan berwibawa

KUALA LUMPUR 21 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan UMNO mahu pemimpin yang berwibawa, berkebolehan dan diterima rakyat membarisi set kepimpinannya.

Timbalan Perdana Menteri yakin ciri-ciri kepimpinan sedemikian mampu membantu beliau mengemudi perubahan dalam parti itu dan negara.

Ditanya apa akan berlaku seandainya pemilihan parti bermula 24 Mac ini tidak mencapai apa yang diinginkan, Najib berkata, beliau hanya boleh merayu kerana menyedari ia adalah kuasa perwakilan untuk membuat keputusan.

‘‘Sebab itu saya kata, mereka mesti mengundi berdasarkan hati nurani. Pilihlah pemimpin yang mempunyai ciri terbaik untuk meniti arus perubahan yang patut kita lakukan,’’ katanya dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia dan Kumpulan NSTP menjelang Perhimpunan Agung UMNO di sini.

Najib seterusnya memperincikan makna set kepimpinan dalam UMNO ialah mereka yang bersedia menghadapi cabaran baru, sedia untuk berubah, sedia untuk buat perubahan dan sedia untuk melakukan kebaikan.

Timbalan Presiden UMNO itu seterusnya menggariskan tiga ciri yang perlu ada pada pemimpin yang hendak dipilih.

Ciri-ciri tersebut kata Najib ialah:

- Pertama, komited dalam perjuangan UMNO lebih daripada diri atau kelompok;

- Kedua, mesti bersikap terbuka maknanya bersedia melakukan perubahan dan;

- Ketiga, mesti pemimpin yang mencerminkan apa yang baik

di sisi rakyat.

‘‘Apa yang rakyat pandang baik yang harus ada pada pemimpin itu, maka pemimpin itu yang sebaik-baiknya dipilih bagi menduduki pelbagai jawatan dalam parti,’’ katanya.

Najib menegaskan, beliau memerlukan sebuah pasukan yang berwibawa memandangkan UMNO dan kerajaan berhadapan dengan keadaan yang begitu mencabar.

‘‘Saya tidak mungkin mampu menghadapi cabaran ini tanpa disokong dan didokong oleh kepimpinan tertinggi parti yang sehaluan, mempunyai fikiran yang sama dan iltizam serta kehendak politik yang sama.

‘‘Jadi inilah yang amat penting sekali. Jika saya bersama beberapa kerat sahaja yang mencerminkan sikap sedemikian, tidak mungkin kita dapat membawa perubahan sehingga mampu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,’’ katanya.

Menjawab satu soalan, Najib berkata, beliau tidak perlu menyebut senarai barisan kepimpinan yang diinginkan kerana tidak semestinya ia akan dipatuhi.

‘‘Kita cuma boleh merayu sahaja kepada mereka (perwakilan) dari segi pertimbangan dan kesedaran serta keinsafan mereka, betapa pentingnya keadaan sekarang yang kritikal untuk masa depan UMNO.

‘‘Kita sudah sampai di persimpangan jalan di mana setelah lebih 50 tahun kita berkuasa, inilah ketikanya paling kritikal. Jadi ahli UMNO mesti sedar ini dan mesti mengundi memilih pemimpin berdasarkan kepada realiti situasi sekarang,’’ katanya. - UTUSAN

Friday 20 March 2009

Rayuan Mohd. Ali ditolak

KUALA LUMPUR 20 Mac – Panel Rayuan UMNO menolak rayuan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin yang melarang beliau daripada bertanding pada pemilihan UMNO minggu depan. Lembaga Disiplin Selasa lalu, membuat keputusan melarang beliau bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO. - Utusan

Thursday 19 March 2009

Kes Ali Rustam : Najib tolak unsur sabotaj

PUTRAJAYA 19 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak menolak unsur sabotaj dan kambing hitam dalam tindakan Lembaga Disiplin ke atas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berhubung politik wang.

Timbalan Perdana Menteri percaya dengan kewibawaan Lembaga Disiplin menangani gejala itu dalam usaha memastikan UMNO bersih daripada sebarang penyelewengan dan rasuah.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Perkhidmatan Elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini hari ini. - Utusan

Wednesday 18 March 2009

Semua calon perlu disiasat - Hishammudin

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua calon yang bertanding pada pemilihan Umno, termasuk dirinya sepatutnya disiasat.

Calon Naib Presiden Umno itu berkata sekiranya ada bukti kukuh maka tindakan daripada Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlulah adil kerana kredibiliti mereka sentiasa diuji.

"Saya harap semua termasuk diri saya sendiri perlu disiasat. Dengan syarat bahawa siasatan itu adil dan tidak ada syak wasangka bahawa calon tertentu sahaja disiasat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Menara Parlimen di sini hari ini.

Keputusan yang dibuat mestilah bersandarkan bukti, hujah dan saksi kukuh, kata Hishammuddin sebagai mengulas dua calon ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin, yang disiasat Lembaga Disiplin Umno.

Hasilnya, Khairy diberikan amaran namun layak bertanding manakala Dr Mohamad Khir didapati tidak bersalah.

Mengenai Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikenakan tindakan tidak boleh bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana politik wang, Hishammuddin berkata persoalan tentang jawatan Mohd Ali sebagai Ketua Menteri Melaka tidak timbul.

"(ini) kerana apa (tindakan) diambil adalah di bawah (kuasa) parti... Apa yang didesak (supaya Mohd Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka) bagi saya tak perlu dipertimbangkan dalam konteks Lembaga Disiplin," katanya.

Beliau berkata Mohd Ali pada mesyuarat Jawatankusa Pengurusan hari ini dilihat tenang, tabah dan beliau menyatakan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu.

Hishammuddin berkata perkara itu sentiasa menjadi pegangan anggota Umno dan perkara sebegini telah berlaku sebelumnya.

"Sejarah telah buktikan dalam kes sebegini akhirnya parti jadi keutamaan dan akhirnya bila rapatkan barisan pejuang parti yang tulen, ikhlas akan terus bersama parti," katanya.

-- BERNAMA


Ali Rustam Akan Kemuka Rayuan

MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan membuat rayuan terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti yang melarang beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

"Surat rayuan itu akan diserahkan pada hari ini," katanya kepada pemberita di kediamannya Seri Bendahara di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman, pemimpin Umno Melaka serta penyokongnya.

Semalam Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan tindakan itu selepas lembaga mendapati Mohd Ali, yang juga Naib Presiden Umno, bersalah melanggar Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, berhubung rasuah politik.

Mohd Ali berkata sekiranya rayuannya diterima, bolehlah beliau bertanding jawatan berkenaan.

Beliau berkata surat rayuan itu turut diserahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ditanya mengenai perasaan beliau berhubung hukuman yang dikenakan terhadapnya, Mohd Ali berkata : "Saya telah tegaskan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin bahawa saya tidak bersalah tetapi jawatankuasa mendapati saya bersalah, jadi saya terima dengan hati terbuka".

Mengenai keputusan berbeza yang dihadapinya dengan calon Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin walaupun kedua-dua mereka yang didapati bersalah berhubung perkara sama, Mohd Ali berkata beliau tidak perlu membanding kerana cara keputusan berbeza-beza dan sebab juga berbeza.

"Keputusan Lembaga Disiplin itu, saya terima selepas balik dari Ipoh semalam. Saya tidak menjangkakan (hukuman) tetapi saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Ditanya sama ada terdapat konspirasi mana-mana pihak atas sabitan beliau, katanya beliau tidak berfikir begitu.

Katanya beliau akan tetap menghadiri perhimpunan agung parti dari 24 hingga 28 Mac ini.

"Saya sebagai orang parti akan terus berkorban untuk parti saya apa saja, jiwa atau raga," katanya sambil menerima tepukan daripada penyokongnya.

Mengenai kenyataan Najib bahawa beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali mengucapkan terima kasih kerana beliau masih lagi dibenarkan berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Saya juga akan menjalankan tugas parti dan kerajaan seperti biasa. Keputusan ini tidak akan menjejaskan saya untuk membangunkan negeri Melaka," katanya.

Ditanya nasihat beliau kepada penyokongnya, Mohd Ali memohon maaf kepada mereka yang telah memberi sokongan dengan susah payah yang akhirnya mereka tidak dapat menunaikan hasrat untuk mengundi beliau pada pemilihan kali ini.

"Saya berharap mereka bertenang, kita kini kena pertahankan parti kita yang sedang menghadapi banyak cabaran. Kita juga ingin melihat supaya proses peralihan kuasa kepada Datuk Seri Mohd Najib akan berjalan dengan baik pada hujung bulan ini atau awal bulan depan," katanya.

Ditanya sama ada keputusan yang dihadapi beliau itu akan dijadikan isu oleh pembangkang, Mohd Ali berkata beliau akan menjawab apa juga isu yang ditimbulkan oleh pembangkang terhadapnya.

-- BERNAMA

Tuesday 17 March 2009

Ali Rustam kekal Ketua Menteri: Najib

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, kekal sebagai Ketua Menteri Melaka.

Najib berkata beliau berharap Mohd Ali dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Beliau mahu Mohd Ali terus menyumbang kepada perjuangan parti. - Bernama

Senarai 15 ahli Umno dikenakan tindakan

Berikut adalah senarai 15 ahli Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan hari ini:


* Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan timbalan presiden)

* Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim (digantung 3 tahun)

* Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin (digantung 3 tahun)

* Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Katil, Saadun Basiron (digantung 3 tahun)

* AJK Umno Bukit Katil, Rosli Hasan (digantung 3 tahun)

* Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil, Zalina Ismail (digantung 3 tahun)

* Ketua Pemuda Umno Maran, Mohamad Najuib Mohd Shahaimi (digantung 3 tahun)

* Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad, (digantung setahun)

* Ahli Umno Paya Besar, Datuk Abd Manan Ismail (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Kuala Krai, Amran Mat (digantung setahun)

* Ahli Umno Gua Musang, Mohd Zuki Mohd Zin (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (amaran)

* AJK Umno Bahagian Paya Besar, Mohd Zaili Besar (amaran)

* Naib Ketua Bahagian Paya Besar, Mohd Sohaimi Jusof (amaran)

* Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (amaran)

Datuk Seri Mohd Ali Rustam Dilarang Bertanding

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu hadapan setelah didapati bersalah melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak bersalah melanggar tataetika ahli parti.

Perkara 10.1 itu berbunyi: Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah mana-mana melanggar peruntukan Tataetika Ahli Umno, maka Lembaga Disiplin bolehlah menganggap, setelah berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.

Saturday 14 March 2009

Pastikan Kabinet Bersih Dari Rasuah - Tun M

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan barisan Kabinet yang beliau akan lantik apabila menjadi Perdana Menteri nanti terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah.

Bekas Perdana Menteri berkata ketika ini ramai di kalangan rakyat yang memerhatikan senario politik negara terutama menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," katanya pada wacana mengenai Demokrasi dan Kepimpinan Masa Depan Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata pelan peralihan kuasa yang dirancang setakat ini berjalan mengikut perlembagaan parti.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah terdapat banyak politik wang yang berlaku dan jika ada peralihan (kuasa) tetapi kalau pemimpin yang dipilih terdiri daripada mereka yang mengamalkan rasuah, Umno tidak akan dapat meraih sokongan rakyat," katanya.

Beliau berkata penggunaan wang rasuah juga boleh menidakkan kebaikan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, jadi perwakilan mesti bijak memberikan sokongan mereka kepada pemimpin yang bersih dan mampu memimpin negara.

"Adalah lebih baik kita musnahkan parti daripada menghidupkan pemimpin rasuah untuk memimpin parti," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata sokongan mereka yang berada di luar Umno juga penting bagi menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan kumpulan ini sedang memerhatikan perlakuan pucuk pimpinan Umno menjelang pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 28 Mac ini.

Mengenai pakej rangsangan mini berjumlah RM60 bilion yang diumumkan baru-baru ini, Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah bagaimana peruntukan itu digunakan.

"Jika anda mengambil Amerika sebagai contoh, mereka seringkali menambah pakej rangsangan dan masih belum melihat hasilnya, jadi ini mungkin permulaan kepada pakej rangsangan kita kerana kita tidak tahu sejauh mana hasilnya.

"Tetapi cara ia akan digunakan adalah sangat penting, mereka mesti perlu berhati-hati dengan peruntukan dana daripada pakej rangsangan... perkara ini memerlukan kajian sewajarnya, anda perlu tahu semua butiran berhubung prestasi ekonomi," kata beliau.

Mengenai cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno, beliau berkata perkara seumpama itu pernah berlaku tetapi tidak berjaya disebabkan berlainan prinsip dan perjuangan.

Apapun, kata Dr Mahathir BN telah memerintah Malaysia selama 50 tahun dan berjaya membawa kemakmuran serta kejayaan kepada rakyat negara ini.

-BERNAMA

Inilah Rumah Saya

Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari. Sumber Utusan.

- Tujuan saya membuat posting ini adalah satu motivasi untuk anak-anak saya dan saya sendiri bahawa segala kekurangan yang ada pada seseorang tidak semesti tidak akan berjaya jikalau seseorang itu berusaha dan jangan menjadikan kekurangan itu sebagai satu batu penghalang. TAHNIAH & SYABAS buat Adik Nik Nur Madihah dan keluarga.

Friday 13 March 2009

BN kekal kerusi Parlimen Pensiangan

KOTA KINABALU 13 Mac – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Pensiangan selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menerima rayuan Timbalan Menteri Pembangunan Luar bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini.

Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini membatalkan kemenangan Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum Mac lalu.

Keputusan dibacakan hakim, Nik Hashim Nik Abd. Rahman. - Utusan

Wednesday 11 March 2009

Melayu Mungkin Pupus?

BANGI 10 Mac - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan orang Melayu tentang kewujudan usaha radikal oleh pihak-pihak tertentu untuk mengubah resipi kekuatan bangsa Melayu.

Baginda bertitah, resipi yang mahu diubah itu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya di bawah naungan dan perlindungan raja-raja Melayu serta termaktub dalam Perlembagaan.

Baginda menegaskan, dalam konteks bangsa Melayu di negara ini, resipi kekuatan itu merujuk kepada elemen utama penyatuan dan kekuatan bangsa.

"Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut,'' titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku The Malays karya ahli akademik Australian National University, Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Raja Muda Perak bertitah, keterusan hidup atau survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung beberapa faktor yang selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya.

Titah baginda, ia termasuk budaya bernegara dan berkerajaan yang berpegang kepada prinsip rakyat beraja dan negeri bersultan.

Baginda bertitah, betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu.

"Betapa terancam survival bangsa apabila tradisi dan institusi tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, permodenan dan sains.

"Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, dalam mengharungi gelombang globalisasi dan menghadapi dinamik politik yang sedang melanda, bangsa Melayu kini di persimpangan jalan dan menghadapi dua kemungkinan.

Titah baginda, kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus bertahan, berkembang dan kuat serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global.

Kemungkinan kedua, titah baginda, ialah bangsa Melayu hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut malah pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan.

Sehingga akhirnya, baginda bertitah, Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.

Pada ketika itu, Raja Nazrin bertitah, tiada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik.

Baginda bertitah, kalau masih ada pun yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan atau lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah.

"Untuk itu, perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok, memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan oleh pihak lawan.

"Akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabung kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai," titah baginda

Saturday 7 March 2009

Perhimpunan bantah PPSMI kecoh

KUALA LUMPUR 7 Mac – Perhimpunan membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Masjid Negara petang ini bertukar kecoh apabila ribuan penyokong penganjur bertindak di luar kawalan dengan mengingkari arahan pihak polis.

Dianggarkan 5,000 penyokong yang berkumpul di pekarangan masjid itu serta Pasar Seni dan Kompleks Sogo berarak ke arah Istana Negara walaupun polis melarang mereka berbuat demikian.

Keadaan kecoh apabila penyokong berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara.

Dijangka beberapa tangkapan telah dibuat, namun belum ada pengesahan daripada pihak polis.

– Utusan.

Sultan Selangor murka

* Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan orang Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan raja-raja dan bangsanya sendiri sebagai biadap.

* Golongan ini juga disifatkan baginda sebagai tidak berbudi bahasa dan tidak ada perasaan malu kerana mempertikaikan perkara berkaitan kedudukan raja-raja dan hak orang Melayu secara terbuka.

* Kemajuan dan pembangunan yang dicapai boleh hancur jika orang Melayu terus bercakaran, disebabkan terlalu ghairah merebut kuasa.

* Tidak ada gunanya bangsa Melayu kekal di dunia tetapi tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

* Orang Melayu perlu bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka dan Islam.

Monday 2 March 2009

Tangani perpecahan dengan segera - Sultan Kelantan

02/03/2009 10:10am

KOTA BAHARU 2 Mac - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra melahirkan rasa dukacita berhubung perpecahan di kalangan umat Islam ketika ini yang menurut baginda memerlukan satu kaedah untuk ditangani dengan segera.

Titah baginda, akhir-akhir ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran, ujian dan percubaan, termasuk isu-isu politik, ekonomi, sosial dan keruntuhan akhlak terutama di kalangan remaja.

“Perpecahan yang sangat ketara di kalangan umat Islam adalah cukup cemas dan mendukacitakan. Beta merasakan situasi sebegini merupakan detik pahit yang memerlukan penyelesaian segera oleh umat Islam yang berfikiran matang, insaf dan sedar,” titah baginda ketika merasmikan pelancaran sambutan bulan dakwah peringkat negeri Kelantan di Balai Islam, di sini, malam tadi. - Bernama