Thursday 30 October 2008

DEKLARASI JANDA BAIK

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-
1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.
3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.
4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.
5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.
6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR.
7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.
8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.
9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.
10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan
11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.
12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.
13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.
14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.
15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.
Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.
KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.

Monday 20 October 2008

ULASAN RAIS YATIM

Dr. M berhak buat kenyataan tentang UMNO - Rais
20/10/2008 7:32pm
KUALA LUMPUR 20 Okt — Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini membidas mereka yang mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membuat kenyataan tentang Umno.
“Banyak pihak yang menghentam Tun Dr Mahathir kerana membuat kenyataan tentang Umno. Ini tidak sepatutnya menjadi satu isu,” kata Rais, yang juga Menteri Luar.
“Beliau ada locus standi (kedudukan) untuk membuat apa jua kenyataan tentang Umno. Beliau menerajui parti itu selama 23 tahun.
“Kalau mereka ingin berkata sesuatu kepada beliau, jumpa beliau dan cakap secara berdepan dengannya. Dr Mahathir berhak untuk menyatakan apa saja yang beliau mahu tentang Umno,” katanya kepada pemberita pada Program Pertukaran Kebudayaan Rakan Malaysia anjuran Kementerian Luar di sini.
Sejak bulan lepas, ada pemimpin tertentu dalam Umno, termasuk presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menuduh Dr Mahathir menjadi punca perpecahan yang berlaku dalam parti itu.
Bekas perdana menteri itu keluar daripada Umno awal tahun ini dan berkata beliau akan hanya kembali ke pangkuan parti itu apabila Abdullah tidak lagi berada dalam Umno dan memegang jawatan dalam kerajaan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_19.htm

Thursday 16 October 2008

Lagi pencalonan untuk Mukhriz

Pemuda Merbok calonkan Mukhriz, Razali
16/10/2008 11:05pm
SUNGAI PETANI 16 Okt. – Persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Merbok malam ini sebulat suara mencalonkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir untuk bertanding Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti Mac depan.
Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula, bahagian tersebut mencalonkan Ketua Pemuda Johor, Razali Ibrahim.
Kedua-duanya mendapat pencalonan sebulat suara sebanyak 227 undi daripada 70 cawangan yang bersidang.
Dengan keputusan terbaru itu, Mukhriz kini mendahului calon-calon lain dengan 41 pencalonan manakala Razali 36 pencalonan. Kedua-duanya telah pun melepasi had kelayakan kuota untuk bertanding sebelum ini.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_29.htm

Wednesday 15 October 2008

Eye ON Malaysia di Melaka mulai operasi 7 November

MELAKA 14 Okt. - Buaian roda gergasi, Eye On Malaysia yang sebelum ini beroperasi di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur kini berada pula di Melaka akan dibuka kepada orang ramai mulai 7 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Eye On Malaysia Sdn. Bhd., Adam Yong Abdullah berkata, kerja-kerja pemasangan Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka, menghadap bandar bersejarah dan Selat Melaka itu kini telah 90 peratus siap.
''Sepatutnya, ia dijangka beroperasi 18 Oktober ini tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan larangan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada musim perayaan lalu.
''Ekoran itu, pemasangan beberapa komponen terpaksa dilewatkan dan Eye On Malaysia dijangka siap sepenuhnya 28 Oktober ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di tapak projek tersebut di sini petang semalam.
Namun, menurut beliau, Eye On Malaysia hanya akan dibuka kepada orang ramai selepas perasmian oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 7 November ini.
Menurut Adam, Eye On Malaysia akan kekal di Melaka dan turut dikelilingi dengan dua tarikan lain iaitu paparan air cahaya dan bunyi terbesar di dunia berukuran 30 meter tinggi dan 60 meter lebar yang dijangka mula beroperasi hujung Disember ini.
''Selain itu, kita juga akan membina dewan seluas kira-kira 2,044 meter persegi yang akan mempamerkan ruang angkasa yang dijangka akan memulakan operasi kepada orang ramai akhir Februari tahun depan," katanya.
Tambahnya, pertunjukan skrin air cahaya dan bunyi akan dipamerkan secara percuma kepada pengunjung khususnya untuk mempromosikan produk pelancongan di Melaka.
''Setakat ini, kita cuma menetapkan harga tiket untuk Eye On Malaysia iaitu RM10 bagi pemegang MyKad dewasa manakala RM5 bagi kanak-kanak. Harga tiket bagi dewan pameran angkasa masih belum ditentukan," katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga projek kini telah 75 peratus siap dan bakal mewujudkan 150 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat apabila keseluruhan projek siap Februari tahun depan.
Tambahnya, kos projek Eye On Malaysia dikongsi pembiayaannya iaitu 40 peratus oleh kerajaan negeri melalui Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan 60 peratus oleh MST Ad Suria Sdn. Bhd.
''Kita menjangkakan mendapat pulangan modal dalam masa lima tahun dengan sasaran pengunjung antara 700,000 dan 750,000 orang setiap tahun,'' ujarnya.
Katanya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan ia kemampuannya mendapat kunjungan seramai 1.3 juta orang ketika berada di Tasik Titiwangsa tahun lalu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm

Monday 13 October 2008

KOTA MELAKA

Persidangan perwakilan UMNO Kota Melaka telah memilih:
Ketua : Datuk Latiff bin Datuk Tamby Chik
Timbalan Ketua : Ibrahim bin Fadhil
Naib Ketua : Abidullah bin Salleh
Tahniah kepada semua yang berjaya dalam pemilihan tersebut.

Sunday 12 October 2008

PERSIDANGAN UMNO KOTA MELAKA

Umno Kota Melaka telah mencalonkan:
Presiden - Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
Timbalan Presiden - Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Naib Presiden - Hishamudin Tun Hussien
- Zahid Hamidi
- Syed Hamid Albar

Saturday 11 October 2008

DATUK SHAH RUKH KHAN

Anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan kerana promosi Melaka
11/10/2008 7:14pm
MELAKA 11 Okt. — Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Beliau berkata Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk “One Two Ka Four” di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas.
“Salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort di Alor Gajah. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas istiadat penyampaian anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini. Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.
Mohd Ali berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.
“Kalau kita hendak buat promosi Melaka secara sendiri melalui sesuatu filem yang ditonton jutaan orang di seluruh dunia tentu kosnya bernilai beratus juta ringgit,” katanya.
“Melaka mempunyai banyak tempat pelancongan menarik seperti Sungai Melaka, Menara Taming Sari, Eye On Melaka dan tempat-tempat bersejarah yang menarik untuk filem seperti filem Hindustan. Kawasan lain di dunia pernah ditonton oleh orang ramai tetapi Melaka belum ditunjukkan secara menyeluruh,” katanya.
Mohd Ali berkata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mencadangkan kepada Mohd Khalil supaya pelakon Bollywood itu diberi anugerah bagi membantu Melaka menjadi terus popular lebih-lebih lagi selepas Melaka mendapat pengiktirafan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Katanya Tun Daim sedang menguruskan tarikh yang sesuai untuk membawa Shah Rukh Khan datang ke Melaka menerima anugerah berkenaan, mungkin dalam tempoh sebulan ini.
Beliau juga berkata kerajaan negeri mahu menjadikan Melaka tempat perfileman antarabangsa, apabila Melaka popular maka Malaysia pun popular.
Terdahulu, semasa berucap pada istiadat penganugerahan itu, Mohd Ali berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada 10 agenda untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Agenda berkenaan ialah menarik lebih banyak lagi pelaburan, memperkukuhkan penggunaan domestik; mendapatkan peruntukan persekutuan yang lebih besar memandangkan sumbangan negeri dari segi pelbagai cukai adalah besar kira-kira RM1.9 bilion setahun; mengutamakan bidang bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), industri terpilih dan asas tani yang merupakan jentera baru pertumbuhan ekonomi dunia.
— BERNAMA

BERIKAN SOKONGAN TOTAL KEPADA NAJIB

AYER KEROH, 10 Okt- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta perwakilan Bahagian-Bahagian UMNO yang memulakan persidangan esok (hari ini) supaya memberikan sokongan total kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menerajui kepimpinan parti dan Kerajaan.Mohd Ali yang secara rasmi turut menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO, Mac depan berkata, sokongan 100 peratus kepada Mohd Najib penting bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar seterusnya mengembalikan semula kekuatan kepada parti, Barisan Nasional dan Kerajaan untuk terus menerajui negara."Semua Bahagian wajar memberikan sokongan sepenuhnya kepada beliau sebagai Presiden demi masa depan UMNO, Barisan Nasional, Kerajaan serta negara," ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri menggesa agar sebarang perkara yang hanya membabitkan kepentingan individu dan kumpulan diketepikan bagi memberikan sokongan secara total kepada Mohd Najib."Ketepikan sebarang perkara yang membabitkan kepentingan individu atau kumpulan kerana Mohd Najib perlu disokong secara total bagi menerajui parti dan Kerajaan," ujar Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka.Kelmarin, dalam sidang media di kediamannya di Seri Bendahara, beliau telah membuat pengumuman secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden berikutan terdapat kekosongan bagi jawatan nombor dua tertinggi dalam UMNO itu selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi Presiden.Keputusan tersebut katanya adalah bertujuan membantu Presiden untuk meneruskan kesinambungan dasar untuk membangunkan rakyat serta negara."Saya berikrar akan menjadi pembantu setia kepada Mohd Najib seperti mana yang telah beliau lakukan kepada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi."UMNO Melaka menyokong penuh Mohd Najib dan kesemua enam Bahagian akan mencalonkannya sebagai Presiden dan juga mencalonkan saya sebagai Timbalan Presiden," ujarnya.Sementara itu di Kuala Terengganu kelmarin, Mohd Najib secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, Mac depan."Saya dengan rasa rendah hati dan penuh rasa tanggungjawab, ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu.Dengan adanya sokongan daripada akar umbi dan perwakilan, beliau berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan UMNO dengan pembaharuan yang dinyatakan oleh Presiden, baru-baru ini.
http://www.melakahariini.com.my/mdA11okt08.html

Friday 10 October 2008

Pencalonan Presiden & Timbalan

UMNO MELAKA SEPAKAT SOKONG NAJIB-MOHD ALI
AYER KEROH, 9 Okt- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, semua enam Bahagian UMNO di negeri ini memberi sokongan sepenuhnya kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan akan mencalonkan beliau (Najib) sebagai Presiden pada Perhimpunan Agung parti, Mac tahun depan.“Sokongan UMNO Melaka terhadap Datuk Seri Mohd Najib adalah sepenuhnya dan enam Bahagian akan mencalonkan beliau sebagai Presiden UMNO,” ujar Mohd Ali yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dalam sidang media di kediamannya di Seri Bendahara, hari ini.Mohd Ali yang menawarkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO berkata, semua Bahagian UMNO di seluruh negara akan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing bermula esok (10 Oktober) dan dijangka berakhir pada pertengahan November depan."Saya berharap Bahagian-Bahagian akan memberi peluang kepada beliau (Najib) dan saya untuk mencukupkan kouta bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya.Perhubungan UMNO Negeri juga jelas Mohd Ali turut merestui keputusan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Ir Idris Haron yang menawarkan diri bertanding kerusi Majlis Tertinggi UMNO, Mac depan."UMNO Melaka juga telah bersetuju beliau adalah seorang calon Ahli Majlis Tertinggi dari Melaka," ujar Mohd Ali.Diminta mengulas keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menarik diri dari bertanding kerusi Timbalan Presiden, Mohd Ali berkata, jika benar beliau (Ahmad Zahid) menarik diri, ia adalah suatu yang baru sebab beliau adalah salah seorang dari calon-calon yang menawarkan diri bertanding kerusi tersebut.
http://www.melakahariini.com.my/mdB10okt08.htmlUMNO

Wednesday 8 October 2008

Abdullah tidak pertahan jawatan Presiden

08/10/2008 5:28pm
KUALA LUMPUR 8 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. – Utusan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm

Friday 3 October 2008

Beraya Sambil Mencari Pengalaman......

Semasa hari raya ke-2 Anak Jati Bukit Duyong mengambil kesempatan untuk mencari pengalaman dan menambah ilmu pengetahuan dengan mengunjungi Zaaba Farm di Parit Pinang Seribu, Muar. Di sini disertakan beberapa gambar semasa berada di sana.


Pengalaman ini semoga dapat dikongsi bersama.... Untuk keterangan lebih lanjut mengenai Zaaba Farm, lawati laman web http://www.zaabafarm.com/